https://m.facebook.com/1911478225529255/posts/2325653070778433/
KENYATAAN MEDIA | MALAYSIAN ALLIANCE OF CIVIL SOCIETY ORGANISATIONS IN THE UPR PROCESS (MACSA)
PERBINCANGAN KEMENTERIAN DAN NGO MENGENAI ISU ICERD
Malaysian Alliance of Civil Society Organisations (MACSA) menyambut baik usaha Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang akan mengadakan sidang meja bulat malam ini (7 November 2018) dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) bagi membincangkan kebimbangan ramai pihak mengenai hasrat untuk meratifikasi konvensyen antarabangsa International Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination (ICERD).
Ramai pengamal undang-undang dan pakar-pakar Perlembagaan berpandangan bahawa ratifikasi ICERD akan bertentangan dengan banyak intipati Perlembagaan Persekutuan. Justeru langkah pihak kerajaan menganjurkan perbincangan seperti yang dirancang, wajar dipuji.
Centre for Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA), sebagai salah satu NGO teras dalam gabungan MACSA turut menerima jemputan untuk ikut serta dalam perbincangan tersebut. Namun malangnya, CENTHRA tidak dapat menghantar wakil dalam perbincangan tersebut, kerana wakil-wakil utama CENTHRA kini berada di Geneva, Switzerland, bagi menghadiri sidang Semakan Berkala Sejagat (Universal Periodic Review, UPR) bagi Malaysia di Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Selain itu, MACSA yang menggabungkan 52 NGO-NGO seluruh negara, turut menerima aduan dari pelbagai NGO-NGO teras dalam gabungannya bahawa mereka tidak menerima jemputan untuk menghadiri sidang meja bulat tersebut, antaranya Malaysian Lawyers Circle (MLC), Concerned Lawyers for Justice (CLJ), Bahagian perundangan Women Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ), dan juga CONCERN yang merupakan gabungan 20 NGO-NGO Islam Sabah. Kesemua NGO-NGO ini adalah yang aktif memperjuangkan dan advokasi berkenaan isu-isu keperlembagaan.
Dalam pada MACSA mengalu-alukan usaha pihak Menteri untuk mengadakan rundingan dan perbincangan, MACSA berpandangan bahawa pihak Menteri juga perlu memanggil dan menjemput pihak-pihak yang berpengetahuan dan terlibat secara langsung dalam advokasi isu-isu keperlembagaan dan hak asasi manusia.
Justeru itu, MACSA berharap pihak Menteri akan dapat mempertimbangkan untuk mengadakan sesi rundingan lanjutan, bagi memberi ruang agar wakil-wakil dari NGO-NGO gabungan di dalam MACSA yang kini berada di PBB (serta yang tidak diundang) dapat turut serta.
7 November 2018
Palais des Nations
Geneva, Switzerland
Azril Mohd Amin
Ketua Eksekutif CENTHRA merangkap Pengerusi MACSA
Prof. Madya Dr. Rafidah Hanim Mokhtar
Presiden WAFIQ merangkap Pengerusi Bersama MACSA