Islamofobia merujuk pada prasangka anti-Islam dan per­kau­man, yang boleh ditujukan terhadap individu atau kumpulan, sama ada kerana latar belakang sebenar atau tanggapan semata-mata. Fenomena tersebut menyebabkan dis­­­­kriminasi yang ti­dak adil, gangguan dan tindakan me­ngasingkan individu atau kumpulan daripada arus perdana kehidupan sosial, ekonomi atau politik.

Menurut bekas Setiausaha Agung PBB (1997-2006), Kofi Annan, istilah Islamofobia sudah wujud sejak akhir tahun 1980-an dan awal tahun 1990-an, namun istilah ini semakin popular selepas tragedi 11 September 2001 yang mengakibatkan imej Islam dikaitkan sebagai agama pengganas dan radikal di mata masyarakat antarabangsa.

Sikap dan tindakan yang menjurus kepada Islamofobia telah menjadi semakin meluas dalam kalangan masyarakat Barat. Sebagai contoh kenyataan kontroversi Pope Benedict XVI dalam kuliahnya di Universiti Regensburg, Jerman, pada 12 September 2006, yang menyatakan Nabi Muhammad (SAW) menyebarkan Islam melalui jalan kekerasan. Masyarakat tentu masih ingat kes karikatur Nabi Muhammad (SAW) terbitan akhbar Denmark, Jyllands-Posten. Juga kes pada tahun 2011 apabila paderi Wayne Sapp membakar naskhah al-Quran di sebuah gereja di Florida.

Tindakan itu dilakukan dengan pengetahuan pendeta radikal Terry Jones, yang menganjurkan “Hari Antarabangsa Membakar al-Quran”. Mutakhir ini wujud kes Islamofobia termasuk siri penghinaan Islam oleh majalah satira, Charlie Hebdo di Paris. Dalam sebuah seminar bertemakan “Confronting Islamophobia: Education for Tolerance and Understanding” di New York pada 7 Disember 2004, Kofi Annan pernah menyebutkan, memang selama ini Islamofobia sering dikaitkan dengan keganasan dan kekerasan.

Selain itu, pada hakikatnya, penyelewengan dari ajaran Islam sebenar juga menyumbang terhadap kewujudan fenomena ini. Justeru umat Islam sendiri perlu memerangi Islamofobia serta mengembalikan imej Islam sebagai agama yang damai, walaupun tidak mudah untuk memperbetulkan persepsi se­ge­lintir masyarakat yang menyatakan bahawa Islam adalah agama yang mundur, ekstrem, teroris dan pelbagai macam tanggapan negatif yang dilemparkan terhadapnya.

Pada hakikatnya, fa­haman sekular serta proses se­ku­­larisasi, termasuk yang ber­sifat besar-besaran seperti yang dilakukan oleh Mustafa Ka­mal Ataturk di Turki pada tahun 1922 merupakan salah satu contoh betapa musuh daripada kalangan umat Islam sendiri boleh mengganggu-gugat kemaslahatan ma­sya­ra­kat. Ataturk telah memisahkan hu­bungan antara aga­ma de­ngan negara. Khilafah Uth­maniyah yang ketika itu bera­da di bawah pemerintahan Sul­tan Abdul Hamid telah diha­puskan. Perlembagaan Uthmaniyah yang berlan­das­kan Islam diganti dengan perlembagaan sekular.

Pa­da tahun 1925, Ataturk meng­ha­ramkan pakaian-pakaian keis­laman seperti tudung, dan mempopularkan cara ber­pakaian ala Barat. Pengucapan “Assalamualaikum” juga diganti dengan pengucapan seperti yang ada di Barat. Lebih parah lagi, pada tahun 1928, Ataturk menggubal undang-undang yang melarang pengajaran ilmu-ilmu syariah Islam, selain menggantikan lau­ngan azan berbahasa Arab dengan bahasa Turki.

Golongan perlekeh Islam di Malaysia

Di ambang 2016 ini, Malaysia semakin berhadapan dengan berleluasanya sikap menjunjung faham sekular dan proses sekularisasi. Pada hakikatnya ini merupakan suatu bentuk pengkhianatan terhadap Islam. Sikap dan tindakan seumpama ini sudah mulai tersebar luas dengan kewujudan suara-suara sumbang beberapa kumpulan masyarakat sivil dan NGO, termasuk daripada kalangan umat Islam sendiri, yang asas per­juangannya ialah mendesak institusi-institusi Islam di ne­gara ini dihapuskan dan enakmen-enakmen jenayah Syariah disemak semula, khususnya aspek-aspek tertentu ditiadakan.

Wujud juga golongan memperlekehkan Islam melalui media sosial. Ini semua dianjurkan atas nama mempertahankan “kerahsiaan peribadi”, demi menjamin “hak asasi manusia” dan hak berekspresi, malah mereka berselindung di sebalik ala­san mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan memanipulasi istilah-istilah seperti “maqasid syariah” dan “kesederhanaan”. Semenjak awal 1980-an, wujud kumpulan-kumpulan termasuk yang anti-hadis, dalam tahun 1990-an kumpulan menolak prinsip nahi mungkar seperti “Malaysian Against Moral Policing (MAMP)” digagaskan.

Tahun 2000 dan seterusnya pula wujud kumpulan peguam dan NGO yang cuba menubuhkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC), Artikel 11, yang mutakhir ini kesemuanya menjelma semula di dalam bentuk gagasan lebih agresif seperti COMANGO dan G25. Di tengah-tengah era globalisasi ini, bukan bererti Islam perlu diubah suai mengikut selera zaman sehingga merangkumi aspek-aspek yang sudah jelas dalam agama ini, seperti yang telah dilakukan Ataturk. Dalam Islam ada konsep tsawabit wal mutagayyirat. Ada prinsip-prinsip yang sudah muktamad, manakala ada pendekatan yang fleksibel, tetapi kedua-duanya dapat berinteraksi dengan kehendak dan keperluan zaman secara relevan dan berkesan.

Konsep pandangan hidup Islam yang sudah syumul perlu menjadi wahana untuk melakukan saringan terhadap pandangan hidup asing, atau pandangan hidup dari dalam Islam sendiri namun yang telah menyeleweng. Dengan pan­da­ngan hidup Islam, kita tidak lagi perlu terlampau mengagumi ke­majuan yang telah dicapai negara-negara Barat. Kita juga tidak perlu membalas Islamophobia yang wujud di Barat dengan sikap dan pendekatan kekerasan.

Konsep toleransi agama yang ditawarkan tamadun Barat dan tamadun-tamadun lainnya boleh dipertimbangkan secara objektif, walaupun masih perlu diwaspadai agar kita tidak ter­jerumus ke dalam bahaya menyamakan semua agama (ideologi pluralisme agama). Kita juga boleh menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang meraikan kemajmukan, serta bukan agama yang ekstrem dan mengizinkan pencabulan hak bukan Muslim.

Hakikat inilah yang menjadi teras serta semangat yang mahu dizahirkan Perkara 3(1), yang mempertegaskan ke­dau­­latan Islam sebagai agama Negara, manakala agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan damai, serta yang dimaktubkan melalui sumpah syarie Yang di-Pertuan Agong (YDPA) berdasarkan Perkara 37(1), Jadual Keempat Perlembagaan Persekutuan untuk baginda YDPA memelihara Islam pada setiap masa. Kedua-dua asas utama Perlembagaan Persekutuan ini menghalang fenomena Islamofobia serta menjamin keharmonian negara tercinta ini.

PENULIS ialah seorang peguam dan Ketua Eksekutif, Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA)